Pages

Saturday, 26 August 2017

Bonsai: Ginseng Ficus2 (Aug 2017)

Bonsai Ginseng Ficus (milik penulis yang ke-2)
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Hari ni penulis nak cerita pulak pasal bonsai. Pokok di atas kalau ikut tokey kedai yang jual pokok ni kata nama pokok ni ginseng ficus. Penulis beli dengan harga RM30 (pokok berserta dengan pasu). Kalau ikutkan, pokok ni macam tak terurus. Lokasinya agak ke belakang dan tersorok masa penulis jumpa pokok ni kat nursery. Nursery ni pun sebenarnya bukanlah menjual pokok-pokok bonsai.


Ini gambaran awal pokok ginseng ficus ni (Jun 2017). Sebenarnya banyak lagi dahan dan daun sebelum penulis cantas.

Pada awalnya, penulis biarkan sahaja pokok ni sebab belum ada idea macam mana nak bentukkan mengikut citarasa penulis. Setelah masuk 2 bulan menjaga pokok ni, daun-daun pun dah lebat, dahan pun dah panjang-panjang, penulis bercadang untuk tukar pasu dan tanah. Jadi, sebelum tukar pasu, daun-daun perlu dibuang dan dahan yang tak perlu juga dicantas.

Proses yang paling penting semasa tukar pasu adalah membuang tanah pada akar. Dengan berhati-hati, penulis menggunakan chopstick (sebab belum ada rake atau pencakar akar yang sesuai) untuk memisahkan tanah dari akar. Setelah sebahagian besar tanah dipisahkan dari akar pokok, penulis menggunakan pancutan air untuk membersihkan tanah-tanah yang masih melekat pada akar. 

Setelah selesai membersihkan akar, memotong akar yang berserabut dan meninggalkan lebih kurang 30% sahaja dari akar asal, penulis sudah bersedia untuk menanam pokok ini ke dalam pasu semula. Persediaan awal pasu adalah meletakkan jaring pada drainage hole supaya tanah tidak terikut keluar bersama dengan air siraman dari pasu.

Pada mulanya penulis bercadang untuk menggunakan pasu yang lain tetapi sebenarnya pasu tersebut tidak berapa sesuai dengan pokok ini. Jadi, penulis mengambil keputusan untuk guna semula pasu yang sedia ada. Lagipun pasu ini masih cantik.

Kemudian, penulis meletakkan sedikit demi sedikit pasir sungai (kasar) pada bahagian atas jaring plastik untuk mengelakkan dari bergerak sehingga menutupi semua bahagian jaring yang berada diatas drainage hole.

Kemudian, penulis meletakkan pokok kedalam pasu yang sudah dimasukkan pasir di lapisan bawah sekali. Pada masa ini, penulis mencari kedudukan hadapan pokok yang sesuai. Proses ini juga agak penting supaya kita tahu mana satu bahagian depan yang kita ingin tonjolkan ketika mempamerkan pokok bonsai.

Akar yang sudah dibersihkan akan disusun, disikat supaya kedudukkannya seimbang disekeliling batang pokok. Tujuannya adalah supaya proses pemakanan pokok adalah seimbang ke seluruh bahagian dahan pokok. Setelah itu, penulis memasukkan sedikit demi sedikit pasir sungai menutupi bahagian akar. Setelah pasir sungai menutupi sebahagian besar akar, dengan menggunakan chopstick, penulis mencucuk-cucuk pada bahagian pasir supaya ianya memasuki ke celah-celah akar bagi mengelakkan air pocket. Bahagian akar yang ada air pocket akan mati sebab kering kerana tidak terkena air dan pada masa yang sama tidak boleh menyerap baja.

Gambaran Pokok Bonsai Ginseng Ficus yang telah siap ditukarkan tanahnya (Aug 2017).

Setelah berpuas-hati dengan kepadatan pasir pada bahagian akar, barulah penulis memasukan lagi pasir untuk menutupi kesemua akar dan sehingga batang pokok menjadi stabil.

Kenapa penulis menggunakan pasir sungai yang kasar sebagai bonsai soil adalah kerana pasir sungai yang kasar tidak menyimpan air. Air siraman hanyalah melalui dan membasahi sahaja pasir tersebut dan ini sudah cukup untuk akar menyerap baja sebagai makanan ketika proses fotosintesis berlaku. Pasir kasar juga mempunyai rongga-rongga udara yang kecil untuk membekalkan oksigen kepada akar.

Akhir sekali, penulis melakukan proses menyiram dengan air sehingga kelihatan air bersama kotoran keluar melalui drainage hole. Proses ini dilakukan sehinggalah penulis dapati air yang keluar itu jernih.

Pokok Bonsai Ginseng Ficus (Aug 2017)

Dibawah ini adalah gambar terbaru pokok bonsai ginseng ficus penulis. Penulis ada la letak lumut pada permukaan pasir supaya nampak lebih menarik.

Pokok bonsai ginseng ficus (Aug 2017). Seronok bila tengok pokok ni sihat dan segar.

Sekian. InsyaAllah kita berjumpa lagi dilain waktu untuk kemaskini terbaru pokok bonsai ginseng ficus ini. Terima kasih kerana mengunjungi laman web ini.

No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH diucapkan atas komen anda. Setiap komen akan dibalas dengan kadar segera. Klik pada checkbox "Notify me" untuk baca balasan dari saya atau komen dari pengunjung lain. Sila berkunjung lagi.